Kelahiran Ramakrishna Math

Belur Math, ibu pejabat Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission

Pengenalan

Sejak zaman Upanishad, masyarakat Hindu telah memberikan perlindungan dan sokongan kepada golongan rahib (Saṁnyāsin) daripada suka duka dunia. Tanpa merisaukan tentang makan minum, golongan rahib dapat menjalani disiplin rohani dan mencapai kesempurnaan. Masyarakat Hindu yang prihatin tentang matlamat akhir hidup, dengan penuh dedikasi membantu sesiapa sahaja yang ingin melepaskan dunia dan menjalani kehidupan rahib demi Tuhan.

Namun, keadaan ini menerima tamparan hebat apabila masyarakat Hindu terdedah kepada pencerobohan Muslim pada 1000 Masihi diikuti dengan penjajahan Inggeris sejak tahun 1745. Akibat penindasan dan penghambaan berterusan, masyarakat Hindu seolah-olah telah hilang segala kekuatan dan kemuliaanya. Golongan berada dan berpendidikan hilang kepercayaan kepada agama Hindu dan mula mengagungkan tamadun Barat. Mereka mempersalahkan agama Hindu untuk semua kelemahan penganutnya. Rakyat biasa pula memeluk agama asing secara beramai-ramai demi melepaskan diri daripada kebuluran dan penindasan. Keadaan ini, menjejaskan hampir semua institusi agama dan masyarakat Hindu.

Bagi membangunkan semula masyarakat Hindu, beberapa pergerakan pembaharuan tumbuh di benua India. Brahma Samaj dan Arya Samaj merupakan antara pergerakan pembaharuan yang membawa kebangkitan semula dalam agama dan masyarakat Hindu. Namun, pergerakan-pergerakan ini tidak dapat memahami keperluan sebenar agama Hindu. Dalam usaha tergesa-gesa untuk memulihkan masyarakat Hindu, mereka gagal memberikan perhatian kepada evolusi penuh agama Hindu sejak beribu-ribu tahun. Mereka juga gagal memahami bahawa Sanadana Dharma dilindungi oleh Pembuat-Nya sendiri yang berjanji bahawa "Bila-bila Dharma merosot dan Adharma meningkat, maka, wahai Bharata, Aku lahir dengan badan fizikal. Demi melindungi yang baik, demi menghapuskan yang jahat, dan demi menegakkan semula Dharma, Aku lahir dari zaman ke zaman."

Demikian, wujud keperluan untuk membangkitkan semula masyarakat Hindu. Pembaharuan masyarakat Hindu perlu dilakukan dengan menggunakan kaedah-kaedah purba yang kukuh dan terbukti berhasil seperti Jñana (Ilmu rohani) dan Tapas (disiplin rohani).

Arkitek Baru

Inilah tujuan kelahiran Sri Ramakrishna (1836-1886) yang lebih dikenali sebagai Sri Ramakrishna Paramahamsa. Beliau telah diterima sebagai seorang jelmaan Tuhan (Avatara), bukan sahaja oleh masyarakat Hindu orthodoks, tetapi juga oleh pelbagai bangsa di luar benua India. Dalam hidup pendeknya, Sri Ramakrishna mengamalkan disiplin rohani daripada pelbagai aspek agama Hindu dan mencapai kesimpulan bahawa semuanya membawa kepada pengalaman mistik yang sama iaitu kesedaran Brahman. Atman seperti terkandung dalam Upanishad dan sastera agama. Sri Ramakrishna juga melakukan eksperimen dengan agama-agama lain dan mencapai kesimpulan yang sama. Akhirnya, Sri Ramakrishna meringkaskan pengalamannya dengan kenyataan: "Aneka agama, aneka jalan!"

Dengan bersenjatakan Jñana dan Tapas, Sri Ramakrishna menyedari bahawa kerja pembaharuan Sanatana Dharma dan membangkitkan semula Bhārata, tanahair ilmu rohani, merupakan suatu kerja berpanjangan, Kerja ini tidak dapat dilakukan dalam jangka hayat manusia biasa. Ia memerlukan pengorbanan dan kerjasama satu kumpulan pengikut setia.

Pada 11 Disember 1885, Sri Ramakrishna berpindah ke sebuah rumah taman di No.90 Jalan Kasipur, Kolkata untuk rawatan perubatan. Sekumpulan pemuda-pemuda mengambil tugas menjaganya secara giliran. Selama itu, pemuda-pemuda ini hanya setakat berkenalan antara satu sama lain. Namun, apabila mereka bersatu untuk menjaga guru mereka, satu ikatan kasih yang kukuh wujud. Sri Ramakrishna meramalkan di sini bahawa suatu kumpulan pengikut muda, di bawah pimpinan Narendra akan melepaskan dunia, dan menjadi rahib demi menyedari Tuhan dan berkhidmat kepada dunia. Beliau juga melantik Narendra sebagai pemimpin mereka dan menuliskan arahannya: 'Kejayaan untuk Radha, Penjelmaan Cinta! Narendra akan mengajar apabila dia di luar dan di dalam India'. Apabila Narendra membantahnya, Sri Ramakrishna berkata, 'Tulang-tulangmu sendiri akan memaksamu untuk melakukannya.'[1]

Pada bulan Januari 1886, Sri Ramakrishna mengagihkan kalungan rudraksha dan kain rahib kepada sebelas orang pengikutnya. Kemudian, atas arahannya, dalam gaya rahib tradisional, pengikut-pengikut ini keluar untuk meminta Bhiksha (sedekah rahib) di kejiranan Kasipur. Apabila mereka pulang dengan kutipan Bhiksha dan memasaknya, Sri Ramakrishna sendiri memakan sedikit makanan itu. Kejadian ini menandakan bahawa Sri Ramakrishna sendiri telah merancang dan menjadikan mereka rahib.

Dalam sepucuk surat bertarikh 13 Julai 1897, Swami Vivekananda mengingatkan Swami Brahmananda: 'Semua hubungan kita berpusat di taman itu. Sebenarnya, itulah biara pertama kita.'

Di Kasipur juga, Sri Ramakrishna mengarahkan isterinya, Sri Sarada Devi untuk meneruskan dengan tugas bimbingan rohani yang telah dimulakannya. Demikian, pengikut-pengikut Sri Ramakrishna memahami bahawa Sri Sarada Devi ialah sebenarnya Sakti guru mereka. Sri Sarada Devi menerima tugas itu dan menjadi Ibu kepada pertubuhan Ramakrishna.

Pada 16 Ogos 1886, Sri Ramakrishna mengalami Mahasamadhi di Kasipur.

Biara Baranagore (1886-1895)

Selepas kematian Sri Ramakrishna, Swami Vivekananda dan beberapa orang pengikut muda Sri Ramakrishna mengambil ikrar Sannyasa dan menjadi rahib. Di bawah pimpinan Vivekananda, mereka mendirikan sebuah biara di sebuah rumah usang di Baranagore pada tahun 1886.

Rahib-rahib yang menjadi pengasas persaudaraan ini ialah enam belas orang pengikut Sri Ramakrishna. Selepas mengambil ikrar Sannyasa secara rasmi, mereka mendapat nama baru seperti berikut:

Rahib-rahib muda di Baranagore pada 1887
Baburam - Swami Premananda (A.D.1861-1918)Nityaniranjan - Swami Niranjanananda (d. A.D.1904)
Gangadhar - Swami Akhandananda (A.D.1864-1937)Rakhal - Swami Brahmananda (A.D.1863-1922)
Gopal - Swami Advaitananda (A.D.1828-1909)Saradaprasanna - Swami Trigunatitananda (A.D.1865-1914)
Harinath - Swami Turiyananda (A.D.1863-1922)Saratchandra - Swami Saradananda (A.D.1865-1927)
Hariprasanna - Swami Vijnanananda (A.D.1868-1938)Sasibhusan - Swami Ramakrishnananda (A.D.1863-1911)
Kaliprasad - Swami Abhedananda (A.D.1866-1939Subodhacandra - Swami Subhodananda (A.D.1867-1932)
Latu - Swami Adbhutananda (d. A.D.1920)Taraknath - Swami Sivananda (A.D.1854-1934)
Narendranath - Swami Vivekananda (A.D.1863-1902)Yogindra - Swami Yogananda (A.D.1861-1899)

Meskipun Ramakrishna Math adalah sebuah organisasi yang moden dan bebas, ia berasal daripada tradisi Puri, suatu cawangan Daśanāmī-Sampradāya yang ditubuhkan oleh Sri Sankaracharya. Sri Ramakrishna mengambil ikrar Sannyasa daripada Tota Puri pada tahun 1864. Tota Puri merupakan seorang rahib dari sebuah biara di Ludhiana berhampiran Kurukshetra.[2]

Biara Alambazar (1895-1899)

Pada 12 Jun 1897, kebanyakan bahagian biara Alambazar musnah akibat gempa bumi. Oleh itu, semua penghuni biara berpindah ke rumah taman Nilambar Mukherjee di kampung Belur. Tempat itu juga terletak berdekatan dengan plot yang baru dibeli untuk mendirikan biara tetap mereka.

Rumah Taman Nilambar Mukherjee

Di sini, Swami Vivekananda mula-mula mengarang dan menggubah muzik lagu Khandana Bhavabandhana pada 6 Mac 1898, ulang tahun kelahiran Sri Ramakrishna. Pada hari itu, Vivekananda sendiri dengan memainkan alatan muzik, menyanyikan lagu itu. Swami Turiyananda memainkan gendang dan beberapa orang lain memainkan alatan muzik lain.[3]

Pada hari yang lain, Vivekananda mengarang ayat suci Om Hrīm Ritam dan meminta pengikutnya untuk menyemaknya, Namun, salinan itu telah hilang dan hanya ditemui pada tahun 1904. Sejak itu, ayat suci ini juga dinyanyikan semasa sembahyang senja di semua kuil-kuil Sri Ramakrishna.

Pada 6 Februari 1898, sebuah imej Sri Ramakrishna telah ditabalkan di rumah seorang pengikut Sri Ramakrishna yang bernama Navagopal Ghosh, di Ramakrishnapur, Howrah. Selepas upacara pemujaan, sambil duduk di atas tikar sembahyang, Vivekananda mengarang secara lisan sebuah mantera mengenai Sri Ramakrishna:

'Om sthāpakāya ca dharmasya...'

'Aku tunduk pada Sri Ramakrishna, yang menegakkan semula agama,

Kebenaran semua agama terkandung di dalamnya,

Dan maka, menjadi Avatara yang terbaik.'